Asrul's Blog

Ancaman Barat Terhadap Sosial Remaja Islam

Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

SEGALA pujian bagi Allah SWT Pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabat r’anhum dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari kiamat.

Syukur kepada Allah SWT kerana dengan taufiq dan innayah-Nya, telah mengizinkan kami menyiapkan kertas kerja ini; “Ancaman Barat Terhadap Remaja Islam Di Malaysia”, serta melindungi kami daripada sebarang ancaman yang tidak diduga sepanjang tempoh menyiapkan kertas kerja ini.

Besar harapan kami semoga kertas kerja ini dapat membuka mata dan fikiran khususnya kepada remaja Islam di Malaysia dan umat Islam umumnya supaya mereka dapat memikirkan sedalam-dalamnya betapa besar ancaman barat terhadap remaja Islam di Malaysia dan kesannya terhadap akal fikiran serta jiwa mereka di mana perkara ini sekian lama telah dirancang oleh barat semata-mata untuk menjatuhkan umat Islam di dunia ini.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih serta penghargaan kami kepada Ustaz. Al-Ikhsan Bin Ghazali, pensyarah subjek Pendidikan Islam kami di atas sokongan dan dorongan sepanjang tempoh pembelajaran kami. Diharap agar dapat meneruskan usaha demi mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat serta mendapat keredhaan di sisi Allah SWT. Insya Allah.

Kepada rakan-rakan seperjuangan, ingatlah bahawa usaha yang kita lakukan ini hanyalah kerana Allah SWT dan selayaknya kepada-Nya kita bertawakal setelah berusaha. Di mana Allah SWT akan menolong hambanya yang menegakkan agamanya.

Sebarang kesilapan harap dimaafkan dan kami meminta keampunan Allah SWT atas yang sedemikian itu kerana tidaklah daya dan upaya melainkan dengan pimpinan dan pertolongan-Nya.

Sekian. Wa billahi taufiq wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Pengarang,

ASRUL BIN ADAM,

SYAHRULBADRI BIN ABDUL AZIZ,

MOHAMED SHUAIB BIN MOHAMED SAHEED,

MUHAMAD IZWAN BIN IDRIS

PENGENALAN

Kebelakangan ini, kita berdepan dengan pelbagai isu mengenai gejala keruntuhan akhlak dan pembabitan jenayah oleh remaja khususnya. Gejala itu membimbangkan dan menjadi petunjuk bahawa usaha mencapai kemajuan akan membawa kita berdepan dengan pelbagai masalah sosial di kalangan golongan ini. Keruntuhan akhlak dikalangan remaja semakin ketara apabila jenayah rogol, sumbang mahram,seks bebas, peras ugut, judi, bunuh, penagihan dadah dan memiliki senjata haram kian meningkat. Mengapa saban hari begitu ramai remaja terbabit dengan gejala ini?. Tidak mungkinkah mereka menurut saja budaya datuk nenek yang menjadi warisan adab dan akhlak Melayu Islam?.

Semakin hari semakin semarak budaya Barat yang diikuti; terkinja-kinja dengan gaya hip-hop (ranggi) dan sebagainya. Semakin hari, remaja Islam semakin `jauh’ dengan nilai keagamaan. Mereka lebih mengagungkan kebudayaan Barat dari kebudayaan Islam sendiri. Dengan timbulnya pelbagai gaya hidup masa kini seperti hip hop, rappers dan punk, ada remaja salah memilih gaya hidup yang mereka inginkan. Mereka akan mengikuti aliran yang berlaku pada saat itu, walaupun ia tidak sesuai dengan kata hati. Mereka mengikuti kecenderungan itu semata-mata dapat diterima rakan sebayanya.


GAMBARAN TENTANG PENGARUH BUDAYA BARAT

1) Seks/pergaulan Bebas

Pendidikan seks, menurut Barat amat berbeza dengan Islam, agama yang sangat murni dan suci ini. Masyarakat remaja Barat yang sangat bebas serta serba tidak terkawal itu hanya diajar bagaimana mencegah supaya jangan berlaku kehamilan. Seks adalah hak peribadi yang tidak terlarang bagi mereka. Bagi mereka, hamil di kalangan remaja berlaku kerana remaja hanya tahu ‘Safe Sex’(seks selamat), bukannya hendak fikir mengenai salahnya berzina itu. Pendidikan seks dalam Islam mendidik remaja bukan sahaja supaya tidak berzina, malah menjauhi sebab dan segala pendorong berlakunya perzinaan. Sebab itu mendidik mengenai syurga dan neraka supaya umat Islam gerun dengan ancaman neraka dan akhirnya menolak nikmat dunia yang sementara supaya terselamat daripada api neraka yang membakar selamanya.


Firman Allah yang bermaksud :

Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk. (Surah Al-Isra’, ayat 32).

Jika menghampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri maknanya, apa sahaja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya adalah haram. Apabila ada pendorong, maka datanglah bisikan syaitan yang sama-sama merelakan pula. Maka, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar, remaja melahirkan anak luar nikah.Bayi yang tidak berdosa ditemui mati di timbunan sampah, perut terburai dimakan pula sekumpulan anjing liar. Sudahlah berzina satu perbuatan yang amat menjijikan, kezaliman pula terhadap bayi yang tidak tahu apa-apa. Sehubungan itu, pergaulan bebas, berdua-duaan di tempat yang sunyi, berpimpin tangan, rapat-merapati dan berhimpitan di atas motosikal adalah muqadimah (pendahuluan) yang kuat mendorong berlakunya penyimpangan seksual di kalangan remaja Islam.

Alam remaja merupakan suatu zaman yang amat mencabar, penuh dengan onak dan duri. Jika tipis imannya, pasti akan terjerat dengan bisikan syaitan. Sebab itulah Nabi Muhammad S.A.W. menyenaraikan REMAJA dalam satu senarai VIP Akhirat iaitu remaja yang terselamat dan yang menyelamatkan dirinya dari zina.

Maksud Hadis Nabi S.A.W. :

Lelaki(pemuda) yang apabila diajak perempuan cantik berzina, lalu berkata “sesungguhnya aku takut kepada Allah”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2) Hiburan/Hedonism

Budaya hedonistik merupakan budaya berhibur dan bergembira. Dan bersuka-suka serta menjalani kehidupan yang sebebasnya demi memenuhi nafsu manusia yang tiada batasnya. Ini terangkum dalam peribahasa Barat yang menyatakan “bergembiralah engkau pada hari ini, puaskanlah nafsumu hari ini, kerana esok engkau akan mati”. Budaya hedonistik di kalangan remaja Islam kian mudah dilihat dewasa ini.

Masyarakat Melayu-Islam rata-ratanya sangat memberi perhatian kepada dunia hiburan. Malahan tidak keterlaluan dikatakan, remaja Melayu-Islamlah paling ramai terlibat dengan dunia keseronokan, mengutamakan hiburan ini sehingga terpaksa ‘menggadai’ maruah, agama dan budaya bangsa. Sebenarnya Islam tidak melarang sama sekali umatnya menghampiri hiburan. Baik drama, nyanyian, teater dan sebagainya amat relevan bagi Islam dalam menyampaikan dakwahnya. Namun begitu, batas-batasnya dalam Islam tetap ada dan mesti dipatuhi demi mendapat keredaan Allah S.W.T.*1(Ahmad J Hussein,‘Melayu-Islam Dan hiburan’,DAKWAH Oktober 2000)

Suasana dan keadaan negara yang dipenuhi dengan hiburan yang keterlaluan dan ‘glamourous life’ bukan sahaja boleh menyebabkan anak-anak dan muda-mudi menjadi lalai, malah ia boleh menyebabkan hati mereka menjadi keras untuk menerima ajaran agama yang berbentuk kerohanian. Rancangan hiburan di televisyen untuk muda-mudi dipenuhi dengan jeritan dan tingkah laku yang tidak bersesuaian dengan keperibadian umat Islam. Jika masyarakat muda-mudi Barat menjerit-jerit melihat penyanyi di atas pentas, perkara seperti itu kurang janggal dilihat oleh remaja Islam kerana itu adalah merupakan satu tradisi hidup masyarakat sekular di negara barat.*2(Dr. saodah Abd. Rahman, ‘punca Keruntuhan Moral Muda-mudi’,DAKWAH April 1997)

Selain itu, hiburan yang dipilih remaja hari ini, sering melangkah batasan norma sosial masyarakat Timur. Misalnya, lirik-lirik lagu yang sering didengar oleh remaja kini hanya berkisar kepada persoalan cinta, seks, dan kebebasan tanpa batasan. Secara langsung ia membina norma negatif kehidupan remaja seperti menidakkan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, berhibur hingga melanggar batasan budaya dan sebagainya.


3) Penguasaan ke atas Internet

Umumnya, maklumat yang melalui Internet boleh dibahagikan kepada dua, baik dan buruk yang dapat dilihat daripada perspektif Islam. Dari segi kebaikan, Islam tentunya memandang dengan positif kerana teknologi maklumat yang canggih ini boleh digunakan untuk menyalurkan segala maklumat yang bermanfaat yang diperlukan oleh setiap orang Islam mengenai segala aspek keilmuan Islam, meliputi al-Quran, al-Hadith, Akidah, Syariah, tamadun, dakwah dan sebagainya. Keilmuan Islam boleh disalurkan ke seluruh dunia termasuk dunia Islam dan pada masa yang sama, boleh juga diterima oleh umat Islam di negara ini dan di negara-negara lain.

Dari segi keburukan, di pihak-pihak musuh Islam, mereka tidak pernah melepaskan kesempatan ini yang membolehkan mereka memaksimumkan penggunaan Internet untuk menjalankan strategi mereka bagi memasukkan unsur-unsur yang boleh merosakkan Islam dan imejnya pada pandangan umat Islam dan bukan Islam seperti unsur anti-Islam, anti-Quran, anti-Hadith dan seumpamanya.

Namun demikian, dalam menghadapi era pembangunan dan kecanggihan teknologi hari ini, umat Islam turut digerunkan dengan pelbagai persoalan keruntuhan akhlak dan moral, penyelewengan data dan fakta, penyalahgunaan Internet seperti unsur-unsur pornografi, fitnah, penciplakan dan aspek-aspek lain yang berkaitan, yang membabitkan masyarakat Islam terutamanya para remaja. Seandainya unsur-unsur jahat dan ganas disalurkan dalam Internet tanpa tapisan dan kawalan, keadaan tersebut tentunya akan lebih menjuruskan mareka ke kancah keruntuhan dan kepincangan akhlak, terutamanya generasi muda yang masih memerlukan bimbingan dan pimpinan daripada generasi tua, khususnya ibu bapa. *3(Naqiyyah Zahra Kamaruddin, ‘Seks Dalam Internet’,DAKWAH Februari 1996)


4) Amalan Tradisi dari Barat

Pada masa kini, segala bentuk keruntuhan akhlak dan moral yang terdapat di negara Barat telah wujud di keseluruhan negara Asia, termasuk Malaysia. Beberapa tradisi yang bercorak hawa nafsu di negara Barat telah menjadi amalan biasa di kalangan sebahagian masyarakat di negara ini, terutamanya para remaja Islam. Malah beberapa amalan tradisi tersebut diamalkan oleh masyarakat Asia lebih kotor jika dibandingkan dengan masyarakat Barat. Contohnya, corak sambutan ‘Valentine Day’, dimana sambutannya disertai tradisi memakan kemaluan anjing, rusa, anjing laut dan ekor buaya dengan tujuan untuk meransangkan hawa nafsu. Kejadian ini dilakukan oleh muda-mudi Singapura pada tahun 1997.*4(New Straits Times, February 14,1997,m.s 1)

Valentine adalah nama beberapa orang wali Christians(Saints). Hari Valentine ialah 14 Februari, yang mana hari tersebut dikaitkan dengan cerita burung memilih pasangan hidup. Bersempena dengan hari tersebut, seseorang dipilih dengan bebas dan hubungan di antara yang dipilih dan yang memilih itu biasanya tidak berpanjangan dan kukuh. Pada hari tersebut, hadiah-hadiah disampaikan kepada kekasih.*5(Chambers English Dictionary, m.s 1629)

Biasanya, muda-mudi Barat sering mengirim kad, coklat dan bunga ros/mawar kepada kekasih sempena hari tersebut. Apabila muda-mudi di negara ini, terutamanya remaja Islam mengamalkan tradisi menyambut Hari Valentine, maka jelaslah kepada kita bahawa mereka terlalu kabur dengan erti cinta dan kasih sayang.*6(Dr. Saodah Abd. Rahman, ‘Punca Keruntuhan Moral Muda-mudi’,DAKWAH APRIL 1997) Menurut takrifan dari perspektif ajaran Islam, CINTA hanyalah untuk Allah S.W.T. dan BERCINTA juga hendaklah kerana Allah S.W.T. Bukannya bercinta mengikut telunjuk hawa nafsu dan bisikan Syaitan dan Iblis laknatullah.

5) Pengaruh Media dan Teknologi Maklumat

Pengaruh media memang tidak dapat dinafikan sama sekali apabila bercakap mengenai keberkesanan pengaruh Barat ke atas belia remaja. Di Amerika Syarikat, televisyen adalah punca nombor satu segala masalah sosial yang dihadapi hari ini. Di negara kita, selain daripada dadah yang menjadi musuh nombor satu negara, pengaruh media juga boleh dikatakan setara. Keadaan semakin serius apabila pengamal-pengamal media tidak dapat menapis dan mamahami isi kandungan media yang ingin dipaparkan kepada penonton mengikut selera tempatan. Mereka agak ‘kurang bijak’ untuk memberikan input-input setempat terhadap setiap program yang dicedok dari Barat. Sedangkan semua orang sedia maklum bahawa pengaruh media sama ada media cetak atau elektronik amat besar dalam mengancam kehidupan masyarakat Timur.*7(Ustaz Mohd Ridhuan Tee Abdullah, ‘Gambaran Pengaruh Budaya Barat Dalam Kehidupan Belia-Remaja’,Seminar Islam Hadhari; Kefahaman Mengenai Kehidupan Berkualiti Khusus Bagi Belia Dan Remaja,16-17 Julai 2005/9-10 Jamadilakhir 1426 H)

Menurut Ungku Abdul Aziz, pengaruh Barat boleh dilihat bilamana remaja pada umumnya tidak dapat mengenal jati dirinya sendiri. Mereka disimbah dengan pelbagai jenis identiti gantian terutamanya media. Media membentuk identiti dan jati diri mereka kerana medialah yang mewujudkan, membentuk dan membina celebriti. *8(Utusan Online)

Dalam laporan Berita Harian mengatakan, sesungguhnya persaingan merebut penonton dan iklan antara stesen TV swasta sekarang ini sudah tidak sihat. Sama ada mereka melanggar garis panduan atau tidak, boleh diperdebatkan. Yang jelas, semakin banyak program yang tidak bersopan, ganas dan lucah, termasuk program kanak-kanak dan kartun yang ganas. Ada yang menari, menyanyi dan berpakaian macam orang tidak siuman. Ada pula ‘judi IT’. Dalam akhbar yang sama bertajuk Akademi Fantasia sentuh Minda Melayu, persoalan ditimbulkan, apakah AF menyuburkan budaya Hedonisme dalam minda orang melayu.? *9(Berita Minggu,Ahad 4 Julai 2004 )

Media cetak juga tidak kurang hebatnya dalam menyuburkan budaya Barat ini. Cuba kita tinjau kedai-kedai buku dan surat khabar. Nyata sekali sambutan terhadap majalah-majalah hiburan terutama melibatkan artis-artis amat memberansangkan. Kandungan majalah yang lebih banyak mendedahkan kehidupan artis menutupi majalah yang lebih bercorak santai dan akademik. Begitu juga dengan iklan-iklan yang dipaparkan, lebih kepada ekploitasi terhadap kaum wanita yang sering dikaitkan dengan pengaruh Barat.

6) Leburnya Jati Diri

Menurut Campbell dalam majalah The Guardian bertarikh 23 novemver 2001, memetik perancangan Bush ke atas negara-negara Islam dalam usaha pembaratan

“ An arabic-language satellite television station financed by the Us and aimed at winnning heart and minds in the Muslim world could shortly become a reality. President George Bush has been told of initiative 911, which put half a billion dollars into channel that could compete in the region with Al-Jazeera and would be aimed specifically at younger Muslims who are seen as anti-American. … It represents a new phase of the propaganda war and would be third prong for the US in the media battle along with a beefed-up Voice of America and new radio Free Afghanistan. …. The network would be “a 24 hours, seven-day a week analogue” on the basic that the “the war of words is as important as the war of bullets”. It would broadcast in 26 languages and would be aimed at around 40 Muslim countries around the world.10 “

Inilah perangkap barat yang telah dipasang dan berjaya menemui mangsa-mangsanya di kalangan belia remaja dari semasa ke semasa.

i. Muzik, Rock, Pop, Rap, R&B, dan Hip Hop

Melodi dan muzik berlatarbelakang kaum di negara kita amat unik dan boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Malangnya, perkara ini tidak banyak ditonjolkan. Melodi dan muzik Barat lebih berpengaruh dan mendapat tempat. Ironisnya, pengaruh ini begitu mudah diterima. Pertama, kerana hip hop berasal dan berjaya di Amerika Syarikat. Kedua, kerana kita melihat apa yang diterima oleh masyarakat Amerika juga harus diterima oleh masyarakat kita. Budaya hip hop telah meresap ke dalam masyarakat kita tanpa disedari. Hal ini demikian kerana kita telah dididik oleh media utama Amerika, iaitu filem-filem Hollywood. Boleh dikatakan hampir setiap filem-filem Hollywood, mengandungi sikap yang menonjolkan fesyen hip hop dan filem tersebut menggunakan muzik hip hop sebagai muzik latar (backgound music).

ii. Punk, Skin Head dan Black Metal

Ketiga-tiga pengaruh ini adalah ajaran sesat dan bukanlah sesuatu yang asing kepada belia remaja hari ini. Budaya ini mula mendapat perhatian dan diamalkan secara membuta tuli. Malah, pengaruh ‘Skin Head makan sampah’ oleh remaja Islam pernah dipaparkan dalam akhbar negara kita satu ketika dulu menggemparkan masyarakat kita. Amalan budaya negatif ini telah mula mendapat perhatian golongan belia remaja walaupun ternyata ia langsung tidak membawa sebarang manfaat kepada pengamal-pengamalnya. Tetapi disebabkan orang Barat mengamalkan, maka ia dianggap sebagai suatu yang ‘glamour’ apabila melakukannya. Begitu juga dengan pengaruh Black Metal yang menampilkan muzik hitam dan lagu-lagu ‘underground’ amat membahayakan belia remaja dari sudut akhlak dan akidah kerana melibatkan pemujaan syaitan.

iii. Fesyen Pakaian

Apabila kita ke bandar terutama sekali pada hujung minggu, kita seringkali melihat remaja-remaja Islam memakai pelbagai fesyen atau ‘trend’ yang dicelup dari barat. Malah, apa yang yang lebih mengecewakan lagi, remaja perempuan Islam tanpa segan silunya memakai pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan pusat dan susuk tubuh badan yang lain. Adakah ini yang dinamakan trend semasa? Sehingga sanggup mencemarkan imej agama Islam yang suci ini.

Perkara mengagungkan budaya fesyen dari barat amat mengecewakan, sedangkan nilai budaya Islam dan adat ketimuran kita penuh dengan nilai-nilai murni dan adab kesopanan yang patut dicontohi oleh remaja Islam di Malaysia. Dunia mengetahui bahawa kita terkenal dengan masyarat timur yang lemah lembut dan beradab sopan. Setiap masyarakat mempunyai jati diri tersendiri termasuk fesyen berpakaian. Tidak salah mengambil fesyen orang lain untuk dijadikan amalan tetapi pastikan ia sesuai dengan norma-norma agama dan budaya setempat.

Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Sosial Di Kalangan Remaja

Setiap satu masalah yang timbul pasti ada penyelesaiannya. Penyelesaian itu pula mestilah bertunjangkan Islam.

1) Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah seorang remaja atau anak. Ini kerana merekalah orang pertama yang dikenali oleh seorang anak. Setiap insan dilahirkan adalah sama tetapi yang mengubah dan mencorak tingkah laku dan peribadi ialah ibu bapanya sendiri. Didikan dan asuhan yang diberikan oleh mereka amat penting dalam membina kekuatan jati diri seseorang remaja dalam mengharungi segala rintangan dan cabaran dalam dunia ini. Islam telah menetapkan tatacara dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa hendaklah memberikan contoh dan teladan yang terbaik kepada anak-anak dari segi pakaian, pergaulan, pertuturan dan sebgainya. Ini kerana mereka melihat ibu bapa sebagai ‘role model’ untuk diikuti dan dicontohi semasa pergaulan seharian mereka. Marilah merenung kata-kata Zig Ziglar yang sememangnya wajar dicontohi oleh ibu bapa.

‘ Remind your daughter that if she is not careful, she can do considerable amount of flirting with a glance of her eyes. Also, be sure to carefully supervise the way she dresses. A skirt that is to tight or too short is an invitation to trouble. Father should explain to their daughters that men are sightoriented and some of them can rationalize anything. Tell your daughter that seductive behaviour and clothing are not appropriate at any time especially not at the office. A pragmatic father can give his daughter many invaluable insights into male psyche.’

Jika seorang bukan Islam mengetahui cara-cara mendidik anak-anak apatah lagi seorang muslim yang telah pun ditunjukkan cara-cara mendidik anak oleh Rasullulah s.a.w.

2) Peranan Masyarakat

Masyarakat merupakan sebuah organisasi yang amat penting dalam membentuk jati diri remaja. Jika keadaan masyarakat baik akhlaknya, maka baiklah akhlak remajanya begitulah sebaliknya. Masyarakat yang berada di sesuatu kawasan mestilah mengambil berat keadaan yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka tidak boleh berpegang dengan prinsip ‘Jangan jaga tepi kain orang.’. Ini kerana sikap seumpama ini hanya membawa keburukan kepada masyarakat itu sendiri. Kalau ada remaja di kalangan mereka mulai terpesong maka sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menegur mereka. Jika masyarakat itu tidak mengambil perhatian yang serius terhadap hal ini, dikhuatiri remaja yang bermasalah ini akan turut mempengaruhi dan melibatkan remaja yang lain. Jika sesebuah masyarakat itu saling nasihat manasihati dan bantu-membantu antara satu sama lain gejala sosial dan maksiat yang berlaku dapat dibanteraskan.

3) Memperbanyakkan kempen mendekati remaja

Remaja memerlukan bimbingan dan sokongan dari luar untuk mereka meneruskan kehidupan. Justeru itu melalui kempen-kempen yang bertujuan untuk mendekati remaja amatlah wajar diperbanyakkan kerana dengan cara ini kita boleh mengetahui punca sebenar mereka cenderung kepada ikutan Barat. Melalui kempen ini juga, memberikan kesempatan kepada remaja membuka mata dan fikiran mereka betapa besarnya ancaman Barat terhadap mereka. Secara tidak langsung kita boleh mengawal remaja daripada terlibat dengan gejala yang kurang sihat yang dibawa dari barat.

Kempen-kempen ini hendaklah menjurus kepada pembentukan akhlak dan sahsiah remaja di mana peserta-pesertanya tidaklah diambil daripada remaja-remaja yang cemerlang sahaja tetapi perlu difokuskan kepada remaja-remaja yang dikatakan bermasalah. Selama ini pihak yang menganjurkan kempen-kempen sebegini hanyalah memilih remaja yang boleh dikatakan baik, boleh diharap, bijak dan sebagainya. Mereka telah melupakan remaja yang selalu ponteng sekolah, mencuri, melepak di pusat beli-belah, merokok dan sebagainya kerana remaja seperti inilah yang sepatutnya didekati dan diberikan bimbingan sewajarnya justeru dapat menghalang mereka daripada terus terjebak.

4) Kaunseling

Dewasa ini, kita dapati kebanyakan remaja mempunyai pelbagai masalah yang sentiasa bermain di minda mereka. Malangnya, masalah ini cuma disimpan dan dipendam dalam hati. Mereka cuba untuk menyembunyikan masalah yang mereka hadapi, walaupun terhadap orang yang rapat dengan mereka. Hal ini menyebabkan mereka melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya mereka lakukan seperti lari dari rumah, mengambil dadah,lumba haram, berjudi, seks bebas dan sebagainya.

Justeru, ibu bapa, guru-guru serta rakan taulan hendaklah memainkan peranan yang penting ke atas remaja ini. Antaranya, membawa remaja yang bermasalah ini berjumpa dengan pakar kaunseling. Sebenarnya, sesi kaunseling berperanan mengetahui dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh remaja yang bermasalah. Dengan kata lain, remaja yang bermasalah boleh meluahkan masalah yang dihadapi dan membaiki sikap dan perwatakan mereka melalui sesi kaunseling. Kaunselor tersebut mestilah memberikan nasihat dengan cara berhemat dan cuba mewujudkan kesedaran dan keinsafan dalam diri remaja. Motivasi yang diberikan ini mampu membentuk dan menaikkan semangat remaja yang bermasalah ini untuk meninggalkan perbuatan maksiat ini.

5) Membekalkan remaja dengan ilmu

Keilmuan adalah satu perkara yang amat penting sebagai persediaan dan pertahanan remaja dalam menyusun tindakan dan menyertai arus perubahan atau era globalisasi hari ini. Oleh hal yang demikian, semua pihak terutamanya guru-guru hendaklah memainkan peranan dengan menanamkan minat belajar di kalangan remaja di samping memberi kesedaran kepada mereka tentang pentingnya mempunyai budaya belajar sepanjang hayat. Selain itu, pendidikan agama hendaklah ditingkatkan di sekolah-sekolah supaya golongan remaja merupakan golongan yang mempunyai pegangan hidup yang bermakna serta dapat menyemai nilai-nilai dan akhlak yang baik dan murni.

Dalam usaha mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan golongan juvana atau remaja, program-program bimbingan, sama ada berbentuk keagamaan ataupun professional haruslah diperkenalkan oleh pihak berkuasa supaya masalah kekeluargaan dapat dikurangkan. Para ibu bapa juga hendaklah memberikan perhatian dalam perkembangan pendidikan dan akhlak anak-anak mereka supaya pengawasan yang mencukupi dapat diberikan.

Kesimpulan

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa betapa besarnya ancaman Barat terhadap Islam khususnya remaja Islam. Ini kerana mereka mengetahui bahawa golongan remaja dan belia adalah tampuk barisan kesinambungan kepimpinan negara dan yang menentukan arah tuju negara di masa depan. Oleh sebab hal inilah, mereka mengerahkan seluruh tenaga mereka untuk menyesatkan remaja-remaja Islam supaya mereka menjauhi Islam malah mengagungkan budaya barat yang amat sekali sesat lagi menyesatkan. Remaja yang tidak bertunjangkan Islam tidak lagi berguna kepada Islam malah melemahkan umat Islam sahaja. Remaja Islam perlulah dijaga daripada dipengaruhi oleh anasir-anasir buruk daripada Barat. Generasi remaja yang akan menentukan masa hadapan negara. Imam Al-Ghazali pernah berkata: “Jika kita ingin tahu corak dan rupa bentuk masa hadapan, lihatlah kepada generasi muda hari ini”. Peringatan ini menunjukkan betapa pentingnya kehidupan masa muda dalam menentukan arah tuju kehidupan kita, masyarakat dan juga negara.

Oleh itu, remaja umpama mutiara yang perlu digilap dan dijaga rapi. Remaja-remaja yang terjebak dalam gejala sosial perlulah dibawa ke pangkal jalan supaya mereka tidak terus lalai dilambung ombak maksiat. Jarum-jarum yang dicucuk oleh Barat adalah amat halus dan sukar dikesan. Oleh itu, kita mesti sentiasa berwaspada dalam menghadapi cabaran ini. Sesungguhnya segala masalah ini boleh diselesaikan dengan hanya bertunjangkan akidah Islam.

RUJUKAN

Anwar Al-Jundi(terj). Kejatuhan Ideologi Materialisma dan Agenda Pengisian Islam. Kuala Lumpur. YADIM. 2001.

Mohd Ismail Mustari. Menjadi belia cemerlang. Pahang: PTS Publications & Distributions Sdn Bhd.
Muhd Mansur Abdullah. Psikologi Remaja. 1988, Fajar Bakti Sdn.Bhd. Petaling Jaya.

Sa’adduddin Al Sayyid Salih (terj). Strategi Musuh Menentang Islam. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. 1996.

Sheikh Paiman Salleh 1992. Siri Motivasi Ummah  Jilid 1- Berani. Kuala Lumpur : Pusat Motivasi Kerjaya.

The World Book Encyclopedia(Volume 9). Chicago: World Book-Childcraft International, Inc. 1982.
Zig Ziglar. Raising Positive Kids in a Negative World. Nashville, Tennessee: Thomas Nelson Publishers, Inc. 2002.

 

MAJALAH

Ahmad J Hussein 2000. Melayu-Islam Dan Hiburan. DAKWAH. Bil 275. Oktober : 52-52.

Barudin Mat Adam  1996. Mengapa Banyak Pelajar Islam Runtuh Akhlaknya? DAKWAH. Bil 276. Disember : 80-82.

Dr. Saodah Abd. Rahman 1997. Punca Keruntuhan Akhlak Moral Muda-mudi. DAKWAH. Bil 239. April : 25-27.
Hariza Mohd Yusof  1997. Masalah Sosial Belia:Salah Siapa? DAKWAH. Bil 237. Januari : 46-47.

Iman Ubat Penyakit Sosial. DAKWAH. Bil 252. Mei 1998 : 17-18.

Kahar Harun 1998. Pelajar: Mutiara yang Kian Lumpur. DAKWAH. Bil 248. Januari: 19-22.

Mohd Sofwan Amrullah 1998. Benarkah Remaja Muslim Sedang Bermasalah? DAKWAH. Bil 248. Januari : 28-29.

Mona Lily 1998. Jangan Salahkan TV Sahaja. DAKWAH. Bil 252. Mei : 27-28.
Naqiyyah Zahra Kamaruddin 1996. Seks Dalam Internet. DAKWAH. Bil 225. Februari : 46-47.

 

 

Asrul Adam,

asruldm@gmail.com

17 November, 2009 - Posted by | Rencana

4 Comments »

  1. Tq asrul…sy pun kene wat presentation tentang tajuk ni…emm bertuah jugak la dapat masuk blog awak ni…hmmm add la sy nanti k..

    Comment by Syafiza_130388 | 2 February, 2010 | Reply

  2. thanks,
    gud luck for ur presentation….:)

    Comment by asruldm | 2 February, 2010 | Reply

  3. artikel ini ditulis pada tahun 2005, di mana pengaruh punk, skin head, black metal dll telah berleluasa di Malaysia sehingga mempengaruhi remaja2 di Malaysia. Rakyat Malaysia juga sangat taksub dengan program2 realiti TV yang berbentuk hiburan semata2. Semua ini akan merosakkan pembangunan Tamadun sesuatu bangsa kerana budaya seperti menimba ilmu, membaca, menambah pengetahuan telah sedikit sebanyak dikikis dicantas dan dihakis. Jika ini berlarutan, Negara akan lambat mencapai status negara Maju, iaitu sesuatu negara yang mampu menggunakan keupayaannya sendiri untuk menghasilkan sesuatu yang baru.

    Comment by asruldm | 7 February, 2010 | Reply

  4. Saya ada pengalaman mengenai hal ini.. time sekolah dulu2… saya faham maksud awak… teruskan usaha… penulisan dan gaya bahasa yg baik.. tahniah…

    Comment by Zalora Malaysia Coupon | 31 July, 2013 | Reply


Leave a reply to Zalora Malaysia Coupon Cancel reply