Asrul's Blog

AKAL DAN OTAK DI DALAM QURAN

TAJUK BUKU : Revolusi IQ, EQ, SQ, Menyingkap Rahsia Kecerdasan Berdasarkan

Quran dan Teori Neurosains Mutakhir

PENULIS : Taufik Pasiak

TAHUN : 2009

PENERBIT : PTS Millennia Sdn. Bhd

AKAL DAN OTAK DI DALAM QURAN

PENGENALAN

BUKU yang dibahagikan kepada sepuluh bab ini adalah pandangan penulis terhadap kajian beliau yang membicarakan secara teperinci tentang teori kecerdasan manusia (IQ, EQ dan SQ) yang dicetuskan oleh intelektual barat William Stern, Danial Goleman, Ian Marshall dan Danah Zohar. Buku ini juga menjawab persoalan-persoalan bahawa adakah teori yang diketengahkan oleh intelektual barat ini memadai bagi menjadi penilaian terhadap kecerdasan manusia. Melalui buku ini, pembaca akan mendapati bahawa teori yang diketengahkan oleh intelektual barat ini sebenarnya sudah dibicarakan oleh Al-Quran 1400 tahun yang lalu dan ianya lebih menyeluruh berbanding yang lain. Namun begitu usaha yang dilakukan oleh intelektual barat ini dalam memperkenalkan teori-teori mengenai kecerdasan manusia amat dihargai dan dikenali sebagai disiplin ilmu neurosains dengan Al-Quran.

Penulis buku ini ialah Taufik Pasak, beliau adalah seorang pensyarah dalam bidang Anatomi dan Agama Islam di beberapa akademi pengakian di Manado, Indonesia. Beliau terlibat secara aktif dalam kegiatan latihan bagi generasi muda khususnya dalam teknik Quantum Learning dan Quantum Health. Oleh sebab komitmen beliau itu, beliau dilantik menjadi Presiden Yayasan Avicenna, yayasan yang aktif menjalankan latihan dan rundingan di seluruh Manado.

Bab 1 hingga bab 5 dalam buku ini menghuraikan prinsip dan memberi gambaran mengenai struktur dan fungsi otak manusia, termasuk perbezaan otak lelaki dan otak wanita. Bab 6 mengenai kreativiti manusia, bab 7 membincangkan makna kata akal (‘aql) dan hubungannya dengan otak manusia, dan kerohanian otak manusia dalam bab 8 hingga bab 10. Seluruh isi kandungan buku ini disimpulkan dalam bahagian penutup yang bertajuk “10 Hukum Dasar Otak Manusia”. Sepuluh hukum tersebut berguna bagi pengembangan IQ, EQ, dan SQ, setidak-tidaknya dapat menjadikan potensi diri manusia berkembang secara optimum. Dalam ulasan buku ini, lebih memberi tumpuan kepada bab 7 yang bertajuk “ Akal dan Otak Di dalam Al Quran”.

ANALISA DATA

Mukjizat Bahasa Al Quran

Bahasa dalam Al Quran membuktikan penggunaan akal dan otak (daya pemikiran) yang mendalam disusuli dengan keistimewaan dan keindahan susun kata yang dapat dihayati dan diolah oleh pembaca yang ditujunya. Ia juga mempunyai komposisi dan perkataan yang menunjukkan keanehan. Penulis menghuraikan dan membuktikan apa yang dikatakan melalui beberapa contoh perkataan di dalam Al Quran. Seperti contoh, perkataan al-hayah (kehidupan) sama banyak dengan perkataan al-maut (kematian), sebanyak 145 kali. Perkataan al-harr (panas) sama banyak dengan perkataan al-bard (dingin), sebanyak 3 kali. Perkataan al-shaif (musim panas) sama banyak dengan perkataan al-syita (musim dingin), sebanyak sekali. Perkataan yaum (hari) sebanyak 365 kali, sama dengan jumlah hari dalam setahun. Perkataan ayyam (hari dalam bentuk jamak) sebanyak 30 kali, sama banyak dengan jumlah hari dalam sebulan. Perkataan syahr/asyhur (bulan) sebanyak 12 kali, sama banyak dengan jumlah bulan dalam setahun. Contoh-contoh yang penulis nyatakan menunjukkan keseimbangan kata dalam bahasa Al Quran mempunyai daya pemikiran dan kecerdasan yang tinggi, menjamin ketepatan susunannya, tidak bersifat sambil lewa dan penggunaan sepanjang zaman (jangka waktu yang lama).



Definisi Akal dan Otak

Perkataan akal dan otak memberi maksud yang sangat luas dan jelas, digunakan dalam percakapan sehari-hari. Penulis menyatakan dalam kajiannya bahawa ada sebahagian orang membezakan perkataan akal dan otak seperti Harun Nasution dan ada yang menyamakan nya. Harun Nasution menghuraikan perkataan akal dalam pengertian Islam bukanlah otak, tetapi akal adalah daya berfikir yang terdapat dalam jiwa manusia. Manakala otak terdiri daripada organ atau struktur dalamannya daripada penemuan kajian saintifik.

Perkataan akal di ambil daripada bahasa Arab ’al-aql’ atau ‘aqala’. Perkataan ‘aql telah digunakan oleh bangsa Arab sebelum kedatangan agama Islam atau agama sebelum agama Islam. Kamus Dewan dan Pustaka memberi definisi akal adalah budi, fikiran, daya upaya, ikhtiar, muslihat atau tipu daya. Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) memberi 4 pengertian akal iaitu daya fikir, daya upaya, tipu daya dan cara-cara memahami persekitaran. Kamus-kamus bahasa Arab pula memberi maksud akal (secara harfiah) sebagai pengertian al-imsak (menahan), al-ribath (ikatan), al-hijr (menahan), al-nahy (melarang) dan man ‘u (mencegah). Ibn manzhur memberi pengertian al-‘aql dengan 6 pengertian iaitu akal fikiran, Menahan, mencegah, membezakan, tali pengikat, dan ganti rugi. Daripada pengertian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa akal sebagai organ yang ‘mengikat’ dan ‘menahan’ objek ilmu dengan kata-kata atau bentuk-bentuk berlambang yang lain (Syed Muhammad Naquib Al-Attas).



Perspektif Al Quran

Definisi yang diutarakan oleh ilmuan mengenai ‘akal’ mengikat ataupun menahan, memperoleh persamaan pengertiannya di dalam Al Quran. Perkataan ini disebut sebanyak 49 kali dalam 28 surah : 31 kali dalam 19 surah yang diturunkan di Mekah, tempat kehidupan kaum Muslimin yang pada ketika itu berada dalam keadaan kelam-kabut, dan 18 kali dalam 9 surah yang diturunkan di Madinah ketika struktur hidup dan kebudayaan kaum Muslimin boleh dikatakan sudah stabil. Di dalam Al Quran perkataan dan pengertian akal sangat padat dan digunakan secara meluas oleh para pemikir Muslim. Fungsi akal mempunyai pengertian ibadah, sehinggakan orang yang gila (dianggap kehilangan akal) tidak diharuskan beribadah kerana dalam keadaan tidak sedar. Ibadah hanya dilaksanakan dalam keadaan sedar dan dari segi ibadah itu sendiri, akal berhubung erat dengan kesedaran.



Pengertian akal dalam Al Quran:

Dan perumpamaan-perumpamaan ini kami berikan kepada manusia. Dan tiada yang

memahaminya (ya’qiluha) kecuali orang-orang yang berilmu. (Surah Al-‘Ankabut [29]:43)



Dalam konteks ayat di atas, perumpamaan yang diberikan oleh Allah adalah ibarat sarang labah-labah. Contoh itu berkenaan dengan orang-orang yang mencari perlindungan selain daripada Allah. Sebagaimana lemahnya sarang labah-labah itu, begitulah pelindung-pelindung selain daripada Allah. Oleh kerana itu, dengan akal fikirannya, manusia diperintah mengambil pengajaran daripada sarang labah-labah itu.



…demikian itu yang diperintahkan Tuhanmu kepadamu supaya kamu

berfikir (ta’qilun). (Surah Al-‘An;am [6]:151)



Ayat di atas menegaskan perintah Tuhan kepada manusia di mana ia berkaitan dengan sikap moral seseorang dalam menjalani perintah Tuhan seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh kerana takut miskin, dan melakukan perkara-perkara keji. Perbuatan tersebut hanyalah dilakukan oleh orang-orang yang tidak bermoral iaitu orang-orang yang tidak berakal atau tidak mempunyai akal yang baik.



…dan mereka berkata:”Sekiranya kami mendengarkan ataupun

memikirkan (na’qilu) itu, nescaya tidaklah kami termasuk penghuni

neraka yang menyala-nyala.” (Surah Al-Mulk [67]:10)



Penulis menjelaskan dalam bukunya bahawa ayat di atas ingin memberikan gambaran orang-orang yang mendustai kehadiran para nabi dan rasul yang memberi peringatan kepada mereka. Mereka digolongkan dalam golongan orang-orang yang tidak memanfaatkan potensi akal. Daripada ketiga-tiga ayat Al Quran di atas, penulis membuat kesimpulan bahawa ayat-ayat tersebut dapat menjelaskan makna yang terkandung dalam perkataan akal itu iaitu pengertiannya sebagai akal organik, yang bertanggunjawab bagi kegiatan intelektual dan spriritual manusia. Pengertian seterusnya ialah akal yang berfungsi untuk belajar, memahami dan mengambil pengajaran daripada semua kejadian dan fenomena yang berlaku. Ia juga berfungsi sebagai dorongan moral yang member pertimbangan-pertimbangan etika manusia menjadikan ia dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Nabi Muhammad SAW, telah besabda,



“Dalam diri manusia, ada seketul daging.” Jika daging itu baik, maka baiklah manusia itu, Jika daging itu busuk, maka busuklah nanusia itu.”

Daripada sabda Nabi Muhammad SAW di atas, penulis mengumpamakan daging tersebut adalah otak manusia. Ini disebabkan oleh kajian-kajian muktahir telah membuktikan otak manusia memiliki tiga fungsi iaitu fungsi rasional-logik, fungsi emosional-intuitif dan fungsi kerohanian. Semua fungsi-fungsi tersebut membolehkan otak menjadi penentu mutu diri manusia itu sendiri.

Penulis ada menyatakan dalam bukunya bahawa perkataan asal al-‘aql tidak terdapat dalam Al Quran. Ia hanya digunakan sebagai kata kerja sebanyak 49 kali : sekali dalam bentuk kala lampau dan 48 kali dalam bentuk kini. Seperti contoh dalam ayat Al Quran di bawah:



Sesungguhnya, seburuk-buruk mahkluk yang melata di sisi Allah

ialah mereka (manusia yang tuli da bisu, yang tidak menggunakan

akalnya (la ya’qilun). (Surah Al-Anfal [8:22)



Berdasarkan ayat di atas, penulis menjelaskan bahawa kerja ataupun fungsi akal sahaja yang membezakan manusia dengan binatang, dan manusia dengan manusia. Kelebihan manusia terletak pada akalnya dan fungsi akal ini juga membuatkan manusia dipanggil hayawan al-nathiq.



10 Hukum Dasar Otak

Daripada huraian keseluruhan bab yang dijelaskan dan hasil kajian oleh penulis dalam bukunya, penulis menyatakan bahawa otak merupakan alam semester mini. Ciri-ciri khas bumi disamakan dengan ciri-ciri khas otak manusia. Dr. Fludd menyatakan bahawa apa yang terkandung dalam bumi sama dengan isi kandungan otak. Ciri fizikal bumi dan otak yang berbentuk ‘sfera’ di ungkapkan oleh ahli falsafah Plato dan keindahan anyaman saraf di dalam otak dirungkaikan dengan kata oleh ahli saraf Charles Serrington. Dalam buku ini, penulis menghuraikan kesimpulannya melalui 10 hukum dasar otak manusia. Hukum dasar otak ini merangkumi keseluruhan proses, potensi dan fungsi otak serta kemampuan otak manusia seperti yang dibincangkan dalam buku ini. Hukum pertama otak ialah otak menyimpan maklumat dalam sel-sel sarafnya. Sel-sel saraf adalah gudang penyimpana maklumat yang bertaut antara satu sama lain di mana isinya tidak akan mengembang dan bertambah seperti gudang penyimpanan beras dan sebagainya. Semakin banyak maklumat yang disimpan semakin erat dan banyak sel-sel saraf bertaut atau mengikat antara satu sama lain. Ia menjadikan maklumat yang disimpan kuat, kukuh dan bertahan lama di dalam ingatan manusia.

Hukum kedua ialah otak memiliki komponen bagi menciptakan kebiasaan dalam berfikir dan bertindak. Otak kebiasaannya mahir apabila apa yang dilaksanakan dilakukan berulan-ulang kali seperti latihan dan sebagainya. Hukum ketiga otak ialah otak menyimpan maklumat dalam bentuk perkataan, gambar dan warna. Proses penyimpanan maklumat dalam bentuk yang sedemikian menjadikan otak adalah organ yang paling unik dan sangat berharga. Hukum keempat otak ialah otak tidak membezakan fakta dan ingatan. Otak bertindak balas terhadap fakta sama dengan tindak balasnya terhadap ingatan. Ini menjadikan fakta dan ingatan manusia satu perkara yang berlainan dalam fungsi otak manusia. Fakta menjadikan ingatan manusia semakin kukuh dan kuat serta bertahan lama.

Hukum kelima ialah imaginasi dapat memperkuatkan otak dan mencapai apa sahaja yang dikehendaki. Hukum keenam ialah konsep dan maklumat dalam otak disusun dalam bentuk pola-pola. Otak dapat menerima dan juga menolak pola-pola itu. Otak terikat, sekaligus tidak terikat dengan pola-pola itu. Hukum ketujuh ialah pancaindera dan reseptor saraf mnghubungkan otak dengan dunia luar. Latihan pancaindera dan latihan fizikal dapat memperkuatkan otak. Hukum kelapan ialah otak tidak pernah berehat. Ketika “otak rasional” keletihan dan tidak dapat menyempurnakan satu pekerjaan, “otak intuitif” meneruskan pekerjaan itu.

Hukum kesembilan ialah otak dan hati bekerja rapat. Otak yang diasah terus-menerus dapat membawa pemiliknya ke jalan kebajikan dan kebijaksanaan, serta ketenangan jiwa. Hukum kesepuluh dan terakhir ialah kekuatan otak turut ditentukan oleh makanan fizikan yang diterima otak bagi memastikan keadaan otak sentiasa baik.

Apabila difikirkan semula, betapa besarnya keagungan Allah SWT menciptakan dan menghidupkan otak. Minda adalah anugerah Tuhan kepada manusia yang tidak dapat dinilai Kerana ia adalah gerbang segala kehebatan. Semakin dalam manusia mengkaji dan meneroka mindanya, semakin banyak kehebataan yang terpancar dalam dirinya. (Petikan dari buku)



KOMENTAR

Setelah menganalisis data-data yang dihuraikan dan dijelaskan dalam buku ini, jelaslah bahawa penulis sangat berbakat dan berpengetahuan tinggi dalam bidangnya. Segala fakta-fakta yang dinyatakan dalam buku ini dihuraikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh pembaca walaupun terdapat fakta atau pernyataan yang sangat sukar dijelaskan dan mendalam maksudnya. Penulis juga banyak mengulas fakta-fakta dari ilmuan islam, ilmuan barat dan ahli falsafah terkemuka dunia seperti Plato, Ibnu Sina, Muhammad Abduh, Syed Naquib Al-Attas dan lain-lain. Pengolahan kata dan ditambah dengan gambarajah serta nota kaki menjadikan pembaca lebih menghayati dan memahami intipati yang disampaikan oleh penulis.

Terdapat lima persoalan yang diutarakan oleh penulis dan jawapannya akan terungkai apabila pembaca membaca buku ini. Perspektif Quran dan sains terhadap kecerdasan? Aspek istimewa di dalam otak yang membolehkan manusia berfikir? Persamaan dan perbezaan IQ, EQ, SQ dan bagaimana ia membantu dalam meningkatkan kecerdasan minda manusia? Maksud fenomena Eureka? Bagaimana manusia dapat membangkitkan kecerdasan secara sepadu seperti yang disjarkan dalam Al Quran? Persoalan-persoalan tersebut tidak dapat dianalisa kesemuanya kerana ianya telah disimpulkan oleh penulis dalam bab terakhir (bab 10) dalam bukunya iaitu “10 hukum dasar otak”. Walaubagaimanapun, pembaca perlulah mengetahui bagaimana penulis memperoleh kesimpulan tersebut seperti yang dihuraikan dalam ulasan ini.

Buku ini banyak memberikan input yang berguna kepada pembaca mengenai kecerdasan minda, fungsi dan sifat otak manusia. Antara sifat otak ialah otak manusia bekerja 24 jam sehari tanpa henti. Ini disebabkan otak manusia terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu otak rasional dan otak intuitif. Apabila otak rasional hampir pada tahap penat bekerja atau letih, otak intuitif akan mengambil alih tugas otak rasional. Kedua-dua otak ini saling bekerjasama dan menjadikan ianya tidak seakan-akan berhenti beroperasi. Secara logik dan rasional otak akan berhenti bekerja apabila manusia meninggalkan alam nyata ini iaitu “mati”. Otak rasional hanya memerlukan masa 10 minit untuk cergas kembali.

Apabila mengetahui secara mendalam fungsi dan sifat otak seperti yang dinyatakan, kita akan mendapati bahawa sebenarnya manusia tidak menggunakan sepenuhnya fungsi otak yang dianugerahkan oleh Tuhan. Oleh itu, penulis berharap agar pembaca meggunakan otaknya secara optimum sebagai khalifah di bumi Allah SWT.

Dalam pada itu, timbulnya rasa kecewa terhadap ilmuan-ilmuan dari Malaysia yang kurang mendalami bidang ilmu sebegini kerana tidak banyak hasil-hasil karya dari Malaysia. Kebanyakan rujukan-rujukan yang dibuat oleh penulis dirujuk daripada ilmuan-ilmuan dari negara asal sendiri dan kebanyakannya juga dari negara barat.

Penulis juga berjaya mendapatkan ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan rujukan dan lebih daripada itu daripada hasil kajiannya, penulis dapat merungkai dan menyingkap rahsia kecerdasan berdasarkan Al-Quran dan dibandingkan dengan teori neurosains masa kini. Dengan ini terbuktilah bahawa utusan dan falsafah yang dibawakan oleh Tuhan melalui Al-Quran sebenarnya telah mendahului teori-teori yang diutarakan oleh ilmuan-ilmuan barat.



PENUTUP

Keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa buku ini memberi input yang berguna disamping secara tidak langsung menyedarkan manusia khususnya masyarakat setempat agar menggunakan otak dan akal mereka secara optimum. Ia juga membuktikan rahsia dan falsafah yang dibawa oleh Al-Quran relevan sehingga kini dan selamanya. Dalam pada itu, buku ini dapat memberi manfaat bagi mencipta perubahan terhadap individu dalam cara mereka berfikir.



Asrul Adam,

asruldm@gmail.com

18 November, 2009 - Posted by | Ulasan Buku

1 Comment »

  1. thank bro

    Comment by hafi | 23 October, 2011 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: